BETTER MAN

Wednesday, December 1, 2010

DENDA 1 JUTA- PESALAH ALAM SEKITAR!

Denda kesalahan hutan RM1j

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Kadar denda dan hukuman bagi kesalahan hutan terutama pembalakan haram akan ditingkatkan kepada RM1 juta dan penjara antara lima dan 20 tahun apabila Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dipinda kelak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebelum ini pesalah kesalahan hutan didenda tidak melebihi RM500,000 dan penjara antara setahun dan 20 tahun.

“Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) hari ini bersetuju meminda Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) bagi memantapkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perhutanan dalam membanteras pembalakan haram dan kesalahan hutan.

“Jabatan Peguam Negara akan mengkaji jumlah denda minimum sebelum Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2010 dibentangkan di Parlimen.

“Diharap pindaan itu dapat memastikan sektor perhutanan bergerak seiring dengan cabaran dan isu semasa yang mencakupi aspek-aspek pencegahan pembalakan haram, pelaksanaan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-66 MTN di Parlimen di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Majlis Tanah Negara menggabungkan Majlis Perhutanan Negara dan Majlis Mineral Negara bertujuan membincangkan dasar dan perundangan untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah bagi perlombongan, pertanian serta perhutanan dalam usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran tanah negara.

Muhyiddin berkata, Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2010 memberi penekanan kepada aspek memindahkan prinsip beban bukti semasa perbicaraan di mahkamah bagi kes-kes kesalahan hutan daripada pihak pendakwaan kepada pihak yang didapati memiliki hasil balak.

Sementara itu katanya, mesyuarat turut bersetuju dengan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu dari 2011 hingga 2015.

“Amalan CTT bagi penghasilan HSK di bawah rancangan Malaysia merupakan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pengurusan hutan secara lestari,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Perhutanan Negara bersetuju bahawa CTT dalam HSK di bawah RMK-10 ditetapkan seluas 199,165 hektar atau 39,833 hektar setahun bagi Semenanjung Malaysia.

“CTT bagi Sabah ditetapkan seluas 300,000 hektar atau 60,000 hektar setahun dan CTT bagi Sarawak ditetapkan seluas 775,000 hektar atau 155,000 hektar setahun,” katanya.

GREENDREAM : bagus cadangan tu... kuatkuasakan!

Thursday, November 25, 2010

KELAB PECINTA ALAM MALAYSIA


Persatuan Pencinta Alam Malaysia (Inggeris: Malaysian Nature Society; MNS) adalah satu badan bukan kerajaan yang tidak berasaskan keuntungan bagi pencinta alam sekitar di Malaysia. Persatuan ini telah ditubuhkan sebagai Persatuan Pencinta Alam Malaya (Malayan Nature Society) pada tahun 1940.MNS merupakan sebuah badan dan persatuan alam sekitar yang dipercayai tertua di Malaysia, Asia dan salah satu tertua di dunia. MNS berpusat di Bukit Persekutuan di Kuala Lumpur. Cawangan Singapura persatuan ini telah menamakan dirinya semula sebagai Pencinta Alam (Singapura) ataupun Nature Society (Singapore) pada tahun 1991.

MNS merupakan badan/persatuan alam sekitar yang bergiat aktif dalam mengetengahkan isu-isu berkaiatan alam sekitar khususnya di Malaysia. Dalam masa yang sama, badan ini menguruskan beberapa pusat kajian alam sekitar yang terkenal di Malaysia seperti Taman Alam Kuala Selangor, Pusat Pendidikan Persekitaran MNS-BOH dan rancangan-rancangan pembelajaran di Rimba Ilmu di Universiti Malaya dan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Badan alam sekitar ini telah berjaya memujuk pihak berkuasa untuk mewujudkan Taman Negara Endau-Rompin. Usaha untuk mengazetkan kawasan tersebut tercetus apabila MNS melakukan satu ekspedisi saintifik ke Endau dan Rompin pada tahun 1985 dan 1986. Baru-baru ini, MNS sedang menjalani satu kempen untuk mengazetkan kawasan Belum-Temengor sebagai kawasan terpelihara.

Sebagai sebuah badan, MNS menerbitkan dua majalah berkala yang berbahasa Inggeris. Dua majalah tersebut adalah Malaysian Naturalist dan Malayan Nature Journal. Malaysian Naturalist ditujukan kepada halayak ramai dan Malayan Nature Journal bersifat lebih saintifik.

Thursday, November 18, 2010

SAMPAH!?



ANCAMAN BESAR BUAT ALAM SEKITAR KITA... MENGAPA KITA SUDAH TERLALU KEJAM PADA ALAM ???
Persoalan ini amat berat untuk dijawab. namun, Greendream faham, kerana kita kekurangan ilmu dalam mengurus alam sekitar kita disamping kurangnya kesedaran sivik sesama kita sebagai penghuni Bumim ini.

Sunday, October 24, 2010

KEMPEN BUMI HIJAU

Pelaksanaan Kempen Bumi Hijau (Amalan Bercucuk Tanam) telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 19 Oktober 2005 dan dirasmikan di peringkat Kebangsaan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada 3 Mac 2006. Matlamat utama program ini ialah untuk menggalakkan rakyat bercucuk tanam bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan.
Kempen ini akan dapat mewujudkan kesedaran dan minat rakyat terhadap pertanian terutama dikalangan penduduk-penduduk taman perumahan di bandar. Kempen ini juga diharap dapat mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan disamping persekitaran perumahan yang cantik dan menarik.


KONSEP PELAKSANAAN

Kempen Bumi Hijau terdiri daripada 3 komponen iaitu Tanaman, Ternakan dan Akuakultur. Di Putrajaya, pelaksanaan konsep komponen Tanaman dan Akuakultur diterapkan.
Pokok kadok dan kunyit merupakan contoh tanaman yang boleh ditanam di dalam pasu Kempen ini menggalakkan amalan bercucuk tanam tanaman makanan berkonsepkan laman dapur atau ‘edible landscape’, secara menanam tanaman bersesuaian dengan ruang sedia ada dan memenuhi keperluan keluarga. Ia menekankan konsep pengeluaran makanan untuk kegunaan sendiri sahaja.
Kempen ini ditujukan kepada semua rakyat dengan sasaran utama adalah penduduk taman perumahan, penghuni rumah pangsa dan murid-murid sekolah.

Anak-anak pokok pula ditanam di dalam bekas mudah alih seperti pasu, polibeg dan seumpamanya atau di atas tanah. Jenis tanaman yang dipilih terdiri daripada sayur-sayuran, daun dan buah, herba dan ulam-ulaman yang boleh dituai secara berterusan.


Bagi komponen akuakultur, pemeliharaan dalam takungan seperti kanvas adalah disarankan.
Pemeliharaan ikan di dalam kanvas
Sumber: Jabatan Perikanan Malaysia
Manakala kaedah ternakan yang sesuai adalah ternakan ayam kampung dan burung puyuh secara pemeliharaan tertutup dalam kurungan.


PELAKSANAAN KEMPEN PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN
Kementerian Pertanian dan Asas Tani bercadang untuk melancarkan program Kempen Bumi Hijau Peringkat Wilayah Persekutuan dengan mengadakan satu majis perasmian secara anjuran bersama antara Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Jabatan Pertanian Putrajaya akan mewakili MOA dan Perbadanan mewakili KWP sebagai pelaksana program Kempen Bumi Hijau Peringkat Wilayah Persekutuan.
Perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, dalam tempoh terdekat. Selaras dengan perasmian ini, pihak Perbadanan Putrajaya turut mengadakan pameran semasa majlis berlangsung dan juga pameran susulan di Karnival dan Promosi Kempen Bumi Hijau Peringkat Wilayah Persekutuan di Alamanda Putrajaya selama 2 hari berturut-turut.


AKTIVITI YANG AKAN DILAKSANAKAN

Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Kempen Bumi Hijau di Putrajaya, aktiviti-aktiviti berikut diadakan:

i. Perasmian Pelancaran Kempen Bumi Hijau Peringkat Putrajaya
ii. Pelancaran Laman Komuniti Putrajaya
iii. Promosi dan Publisiti yang berterusan
iv. Pameran
v. Pertandingan Laman Dapur
vi. Latihan dan demonstrasi
vii. Penyediaan bekalan input
viii. Sokongan teknikal


PENDEKATAN
Putrajaya menggunakan pendekatan bercucuk tanam dan pemeliharaan akuakultur sebagai menyambut seruan Kempen Bumi Hijau. Penanaman dan pemeliharaan akuakultur akan dilaksanakan secara individu, keluarga atau komuniti.

i. Penanaman Secara Individu / Keluarga :
- Melibatkan seorang / satu keluarga.
- Dilaksanakan di dalam kawasan rumah dengan spesies tanaman yang sesuai dengan saiz ruang dan keperluan keluarga.
- Jenis rumah untuk kaedah ini:
-- rumah berkembar
-- rumah teres
-- pangsapuri.
Contoh jenis tanaman yang boleh ditanam secara komuniti. ii. Penanaman Secara Komuniti
- Melibatkan komuniti setempat.
- Dilaksanakan di kawasan perumahan yang mempunyai tanah lapang yang berhampiran.
- Kaedah ini membolehkan pelbagai jenis tanaman ditanam dengan mengambil kira kuantiti yang mencukupi untuk keperluan setiap keluarga dalam komuniti.
- Kelulusan secara rasmi penggunaan tanah ini diperlukan terlebih dahulu.
iii. Pemeliharaan Akuakultur
- Ternakan ikan keli di dalam kanvas digalakkan.
- Secara individu/keluarga atau melibatkan komuniti setempat.
- Dilaksanakan di dalam kawasan rumah atau bagi kawasan perumahan yang mempunyai tanah lapang yang berhampiran.
- Komponen peralatan ternakan ialah tangki kanvas lengkap dengan bingkai, benih ikan dan makanan ikan yang diketengahkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Pemeliharaan ikan keli di dalam kanvas
Sumber: Jabatan Perikanan Malaysia


PROGRAM LAMAN KOMUNITI
- Program Laman Komuniti Putrajaya sebagai program susulan sempena Kempen Bumi Hijau akan diadakan oleh Perbadanan Putrajaya.

- Program Laman Komuniti Putrajaya adalah selaras dengan konsep pembangunan Putrajaya sebagai Bandar Raya Dalam Taman.

- Aktiviti ini juga mampu mengeratkan interaksi antara penduduk dan ia merupakan satu langkah untuk mengwujudkan masyarakat Putrajaya yang bersedia dipertanggungjawabkan menjaga persekitaran kediaman komuniti masing-masing.

Program Laman Komuniti ini dicadangkan untuk dijalankan secara berfasa:
- Untuk peringkat permulaan, modul Laman Dapur akan diperkenalkan dengan beberapa contoh reka bentuk bagi rumah jenis teres dan pangsapuri yang terdapat di presint-presint kediaman. Reka bentuk Laman Dapur ini akan memperlihatkan satu reka bentuk laman yang harmoni dan bersepadu antara tumbuhan boleh dimakan dan tanaman hiasan.

- Untuk fasa seterusnya, laman komuniti bagi kategori rumah jenis banglo, semi-D serta kawasan hijau termasuk rizab landskap dan taman-taman akan dibuat secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan.

Tuesday, August 10, 2010

COME TOGETHER... SAVE THE PLANET EARTH!

TEKNIK PELUPUSAN SAMPAH


PERANGKAAN menunjukkan seorang individu negara ini menghasilkan purata 800
gram sisa pepejal sehari atau sejumlah 16,000 tan sisa pepejal di seluruh
negara setiap hari. Dengan tapak pelupusan yang semakin nazak dan
ketiadaan kawasan untuk dijadikan tapak pelupusan sampah yang baru,
timbunan sampah-sarap ini adalah suatu masalah besar yang perlu diberi
perhatian. Kegagalan menangani masalah ini mungkin akan menyaksikan
penduduk negara ini menghuni di timbunan sampah.
Wartawan Berita Harian, JAMI'AH SHUKRI mendekati kaedah dan sistem
terbaik untuk menangani isu pelupusan sampah secara lebih berkesan dan
mesra alam.
ISU pelupusan sampah di ibu kota menjadi masalah utama dan tidak
berkesudahan. Di Kuala Lumpur saja, tidak kurang 300 kenderaan sampah atau
kira-kira 2,500 tan sampah dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Taman
Beringin, Jinjang, sehari untuk dilupuskan.
Tapak pelupusan ini adalah satu-satunya tapak pelupusan sampah yang
masih wujud di ibu kota dan ia juga sudah nyawa-nyawa ikan. Ia sepatutnya
ditutup sejak 1998, namun sehingga hari ini, tapak pelupusan itu masih
beroperasi dan terus menyeksa penduduk sekitar.
Selain pelupusan menerusi timbunan tanah (di tapak pelupusan sampah),
sisa pepejal juga dilupuskan menerusi kaedah pembakaran terkawal,
menggunakan insinerator teknologi gasifikasi atau peleburan abu. Malah,
sampah juga dibakar secara haram, secara terbuka dan tidak terkawal.
Di Malaysia, insinerator teknologi gasifikasi dan peleburan abu berharga
RM1.5 bilion dirancang dibina di tapak seluas 265 hektar di Broga,
Semenyih. Kemudahan ini berupaya melupuskan kira-kira 1,500 tan sampah
sehari - sebahagian besar daripada sampah-sarap yang dihasilkan di Lembah
Klang.
Malangnya, cadangan ini belum dapat dilaksanakan berikutan tentangan
daripada penduduk. Kerana bantahan penduduk juga, projek yang pada awalnya
dijadualkan dibina di Kampung Bohol, Puchong beralih ke Broga. Penduduk
Broga juga menolak projek ini kerana bimbangkan keselamatan dan kesihatan
mereka kerana insinerator dikatakan akan membebaskan dioksin, bahan
pencemar yang berbahaya.
Menyedari masalah ini, sebuah syarikat Bumiputera, DRT Technologies Sdn
Bhd memperkenalkan teknologi pelupusan sampah dari China, yang tidak
mencemarkan alam sekitar iaitu teknologi pirolisis.
Teknologi ini adalah teknik melupus atau membakar sampah tanpa oksigen
pada suhu tinggi antara 800 hingga 1,000 darjah Celsius. Teknik ini akan
menghasilkan sedimen (sisa buangan) yang boleh digunakan sebagai baja dan
gas pembakaran bagi kegunaan rumah serta menjana kuasa elektrik.
Teknologi ini dijangka memberi satu lagi pilihan kepada kerajaan dan
pihak yang berminat untuk menggunakan kaedah itu. Teknik dan peralatan
teknologi itu yang ditemui dan dimiliki Tianjin Longde Co Ltd mendapat
pengiktirafan dan penganugerahan Kerajaan China.
Majlis Penggunaan Semula Sampah Pejal Persatuan Pelindung Alam Sekitar
China, menegaskan teknik pirolisis bukan saja mampu membantu mengatasi
masalah peningkatan bahan buangan setiap hari, malah apa yang lebih
penting, ia tidak mendatangkan kesan sampingan kepada alam sekitar.
China menggunakan teknologi itu selepas mendapati jumlah penduduknya
meningkat dengan ketara dari setahun ke setahun. Peningkatan penduduk dan
pelbagai kegiatan harian serta ekonomi mereka memberi kesan secara
langsung pada udara, air dan kawasan ternakan.
Jumlah sampah di negara ini juga kini melebihi satu juta tan setiap
tahun dan ia meningkat lapan peratus setiap tahun.
Pirolisis adalah proses untuk memanas dan menyuling sebatian organik
dalam sampah dengan penggunaan oksigen yang sedikit atau tiada oksigen
langsung dan mendapatkan minyak bahan api serta gas yang tidak terbakar.
Sebatian organik itu kemudian dihancurkan dengan menggunakan suhu tinggi
dan membentuk kepada beberapa gas yang baru, cecair dan pepejal atau
bongkah.
Ketika proses berkenaan berjalan, banyak reaksi kimia berlaku. Suhu
tinggi awal bagi proses penghancuran adalah berbeza dengan komponen
organisma yang lain. Komponen produk juga berbeza berdasarkan reaksi kimia
yang berlainan mengikut suhu yang digunakan.
Berbanding kaedah pembakaran lain, teknologi pirolisis dikatakan satu
teknologi bersih kerana produk akhirnya adalah karbon dioksida dan air,
bukan gas toksik yang mencemarkan alam sekitar seperti yang dihasilkan
loji atau teknologi pelupusan lain.
Kaedah lain menghasilkan sebatian yang mudah terbakar seperti hidrogen,
metana, karbon monoksida dan beberapa jenis cecair (termasuk tar, minyak
larut) serta sebatian organik seperti metana, aseton, asid asetat dan
asetaldehida. Di samping itu, produk pepejal seperti arang kok dan karbon
kosong.
Kadar pelepasan dioksin yang dibebaskan teknologi pirolisis juga amat
rendah, jauh rendah daripada paras yang dibenarkan mengikut piawaian
antarabangsa.
Teknologi ini mampu melupuskan semua jenis sisa, termasuk sisa perubatan
atau klinikal, sampah perbandaran dan sisa berbahaya (tidak termasuk
pelupusan bahan radioaktif berbahaya).
Sehubungan itu, teknologi pi-rolisis berpotensi digunakan oleh pihak
berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan kerja melupuskan sampah pejal di
kawasan pentadbiran mereka dan kilang kelapa sawit - untuk melupuskan
minyak sawit biojisim seperti tandan sawit kosong (EFB), yang dihasilkan
dalam proses industri kepala sawit.
Selain itu, hutan dan taman pertanian - untuk melupuskan sisa sampah
biojisim yang dihasilkan ketika proses hutan dan tanaman pertanian
diusahakan; hospital - untuk melupuskan sisa klinikal; kilang penapis dan
petroleum - untuk melupuskan kumbahan yang tercemar serta industri.
Di samping itu, teknologi ini juga sesuai dibangunkan di kawasan
perumahan, kompleks dan bangunan besar bagi pelupusan sisa domestik dan
sisa pepejal yang dihasilkan.
Bagi loji atau mesin berkapasiti 10 tan sehari, hanya lapan hingga 12
jam diperlukan untuk melupuskan 10 tan sampah organik dan sampah bukan
organik, 12 jam.
Bagi sampah organik, suhu optimum ialah antara 300 dan 1,000 darjah
Celsius. Kebiasaannya, suhu adalah dalam lingkungan 800 darjah celsius.
Setiap kali membakar relau, tempoh prapemanasan adalah daripada 30 hingga
40 minit dan suhunya akan meningkat sehingga 500 darjah Celsius.
Teknologi pirolisis yang boleh mencapai antara 800 hingga 1,100 darjah
Celsius itu dijamin mampu membunuh semua jenis mikro organisma dan kuman.
Satu lagi cirinya yang paling istimewa ialah teknologi ini mampu
menghasilkan 300 hingga 350 meter padu (m3) gas bagi setiap satu tan
sampah.

Monday, August 9, 2010

CUKAI KARBON

KAITAN SOLAR DAN KEPANASAN BUMI

Para saintis iklim berpendapat bahawa kepanasan bumi, berasaskan kajian mereka, cocok dengan aktiviti solar. Graf aktiviti solar dalam Jurnal Astrofizik menunjukkan bahawa suhu bumi konsisten dengan aktiviti solar ini, di mana pengetahuan manusia masih terbatas dalam mengetahui dinamikanya. Graf dalam jurnal ini menunjukkan catatan sejak tahun 1750 sehingga kini.

Seorang pakar di Sekolah Sains Atmosfera Universiti Colorado State, William Gray, 77 mendakwa laporan Panel Antara-Kerajaan untuk Perubahan Iklim (IPCC) sebagai beragenda politik.

Gray menjelaskan bahawa kaedah kajian IPCC tidak menggunakan model komputer yang boleh dipertanggungjawabkan. Sebagai salah seorang pakar kajian yang telah 55 tahun menumpukan usaha dalam bidang ini, beliau termasuk rakan-rakan pakar lain tidak pernah dirujuk oleh IPCC.

Dalam kata lain, para saintis menegaskan bahawa kaedah penyelesaian yang cuba ditawarkan melalui Sidang Kemuncak di Copenhagen adalah tidak tepat.

CUKAI KARBON

Dalam Sidang Kemuncak nanti, cukai karbon akan diperkenalkan di mana ia akan melibatkan perbelanjaan besar untuk menangani jumlah karbon yang terlepas ke udara.

Para saintis membantah kaedah ini kerana berasaskan kajian mereka, ia tidak menyelesaikan masalah karbon sebaliknya menggalakkan peningkatan karbon tetapi aktiviti solar.

Cukai karbon secara asasnya adalah satu pendekatan untuk menghalang aktiviti manusia seperti kilang daripada melepaskan kadar karbon pada tahap tertentu. Jika kilang-kilang ini berbuat demikian, mereka dikehendaki membayar sejumlah cukai.

Kajian di Korea menunjukkan bahawa selepas jenis cukai ini diperkenal, peningkatan pelepasan karbon di udara kian mendadak kerana kilang mampu membayar cukai dan mereka menjustifikasikan kenaikan harga produk mereka dengan alasan cukai yang tinggi. Ini telah membebankan pengguna barangan yang menghasilkan karbon.

Para saintis bertegas bahawa kajian mereka menunjukkan aktiviti manusia tidak signifikan dalam mempengaruhi perubahan iklim.

Dalam kajian mereka, suhu bumi kian sejuk berbanding lewat 1990-an. Mereka mengatakan kepanasan bumi yang berpunca daripada aktiviti solar masih di luar keupayaan manusia untuk difahami seluruh prosesnya justeru tidak adil untuk mengenakan cukai karbon ini.

Mereka berpendapat bahawa ada pihak tertentu yang cuba mencipta kekayaan segera dengan pengenalan cukai karbon dan yang akan menanggungnya kelak ialah rakyat yang membayar cukai.

Inilah antara sebahagian apa yang saya cuba jelaskan apabila menekankan pendekatan sebahagian aktivis alam sekitar yang tidak menghujahkan agenda alam sekitar secara menyeluruh terutama dalam aspek ekonomi yang cukup menentukan survival negara-negara yang mahu menandatangani perjanjian nanti.

Mencintai alam sekitar memang kerja baik, tapi awas, kaedahnya harus menang-menang, apatah lagi dengan kesilapan fakta dan rancangan menjadi kaya segera!

PERJUANGAN SEBENAR BARU BERMULA!

Tingkatkan usaha kesedaran alam sekitar-Lidah Pengarang
KESEDARAN mengenai kepentingan alam sekitar masa ini adalah luas dan mendalam berbanding dengan 10 tahun lalu. Kemajuan besar dalam hal ini mendatangkan banyak perubahan dalam pelbagai kegiatan manusia yang memberi sumbangan kepada kebaikan alam sekitar.

Namun begitu, isu-isu alam sekitar mempunyai pelbagai bentuk dan banyak perkara baru muncul sementara yang lama masih belum dapat ditangani.

Dalam kedudukan alam sekitar sedemikian rupa, tidak ada jaminan bahawa bumi akan terselamat daripada bencana terutama yang diakibatkan oleh perbuatan manusia.

Justeru, Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut hari ini merupakan peluang bagi semua pihak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu-isu alam sekitar.

Ini kerana soal alam sekitar tidak boleh ditangani secara sendirian oleh mana-mana bahagian masyarakat, sebaliknya ia memerlukan kerjasama yang terselaras oleh semua pihak dalam menanganinya.

Malah ia juga tidak dapat dilakukan oleh mana-mana negara tertentu tetapi memerlukan pembabitan semua negara di dunia kerana kita semua berkongsi satu kediaman iaitu planet bumi.

Dalam sesebuah negara pula, ia memerlukan kesedaran bukan saja oleh aktivis alam sekitar tetapi juga kerajaan dan rakyat keseluruhannya.

Tanpa kesedaran tentang kepentingan alam sekitar, sudah tentu ada bahagian dalam masyarakat yang memandang sambil lewa terhadap masalah-masalah alam sekitar.

Lebih buruk lagi adalah wujudnya golongan yang berpengetahuan tentang alam sekitar tetapi tidak sedar terhadap kepentingannya. Sebaliknya mereka lebih mengutamakan kepentingan peribadi, terutamanya dalam bentuk keuntungan perniagaan.

Tanpa kesedaran alam sekitar, maka akan wujud usaha menghalang sebarang perjuangan memperbaiki atau menangani alam sekitar, lebih-lebih lagi apabila keutungan mereka terjejas.

Memang akan berlaku perbezaan fahaman terhadap sesuatu isu alam sekitar. perkara ini lumrah berlaku lebih-lebih lagi tidak ada sesiapa yang tahu keseluruhan mengenai alam sekitar. Pengetahuan yang kita ada tentang alam sekitar berpunca daripada data saintifik yang tafsirannya sudah tentu berbeza di antara satu sama lain.

Namun begitu, perbezaan tafsiran tentang data saintifik mengenai alam sekitar tidak harus menjadi penghalang kepada sebarang usaha menyelesaikan masalah-masalah alam sekitar.

Sememangnya kita menolak sebarang bentuk kegiatan pelampau alam sekitar yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu di Barat, tetapi keprihatinan tulen terhadap masalah yang dihadapi bumi harus dihargai secara ikhlas.

Dalam pada itu kita juga menolak sikap hipokrisi kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang mengutamakan kepentingan perniagaan nasional mereka daripada nasib bumi apabila Washington membatalkan sokongan kepada Protokol Kyoto.

Namun begitu, kita harus menghargai perbezaan pandangan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia tentang cara mana menangani masalah-masalah alam sekitar.

Tetapi apa yang jelas ialah planet bumi hanya sebuah yang perlu kita kongsi bukan saja sesama manusia tetapi juga dengan haiwan dan tumbuhan daripada pelbagai spesies. Jika tidak menyelesaikan masalah alam sekitar dengan sebaiknya, mungkin diri kita masih terselamat tetapi nasib generasi manusia akan datang akan lebih parah dan gagal untuk menyambung keturunan.


PENINGKATAN kesedaran di kalangan masyarakat terhadap usaha memulihara alam sekitar mendorong pembabitan secara langsung badan-badan korporat dalam kempen pemeliharaan dan pemuliharaan.

Terbaru usaha yang dilakukan oleh Nando's Malaysia yang melancarkan mengurangkan penggunaan beg plastik bagi setiap pembelian bawa pulang dan penghantarannya.

Kempen yang bertemakan Clucking with Mother Nature ini telah dilancarkan dalam satu majlis penuh penuh meriah di restoran Nando's One Utama bersesuaian dengan konsep rimba hijau yang terdapat di pusat beli-belah tersebut.

Kempen bertujuan mendidik orang ramai mengenai penggunaan beg kitar semula berbanding beg plastik ketika membeli-belah.

Bagi menjayakan kempen tersebut jenama rangkaian makanan segera terkenal itu turut bekerjasama dengan Pertubuhan Alam Sekitar Malaysia (MNS) dan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi yang diberi tanggungjawab mereka beg kain kitar semula edisi istimewa.

Melalui kempen Clucking with Mother Nature ini, dengan setiap pembelian bernilai RM100 ke atas pelanggan akan menerima beg kain Nando's tersebut secara percuma atau membelinya pada harga RM2.90. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 sen akan didermakan kepada Tabung Memelihara Alam Sekitar MNS.

Selain itu, Nando's turut menyediakan kad keahlian percuma yang diikat bersama beg tersebut yang mana pelanggan boleh menikmati hidangan percuma selepas mengumpul lima kali cop pada kad tersebut.

"Kami menyokong kempen pemeliharaan alam sekitar bukan sekadar melalui penjualan beg kain edisi istimewa Nando's Go Green di setiap restoran kami, di mana setiap pembelian bawa pulang tidak akan dibungkus menggunakan beg plastik.

"Malahan, kami juga akan menggunakan barangan yang bukan diperbuat daripada plastik di semua restoran kami tidak lama lagi," kata Ketua Pengawai Eksekutif Nando's, Mac Chung Lynn.

Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada usaha Nando's dalam memelihara alam sekitar untuk dinikmati generasi akan datang.

Sebagai kesinambungan kempen Clucking With Mother Nature, Nando's turut mengambil kesempatan untuk melancarkan pertandingan melukis Perify Your Art buat kali kedua.

Dengan tema The Art of Recycling the Nando's Way, pertandingan ini bertujuan mencungkil kreativiti pelukis-pelukis dalam menghasilkan karya seni bermotifkan alam sekitar dengan menggunakan bahan-bahan yang boleh dikitar semula.

Projek usaha sama antara Nando's Malaysia dan NN Gallery pada tahun ini bertujuan untuk mempromosi dan mencari bakat-bakat baru yang dicungkil daripada kolej dan universiti tempatan di mana dalam waktu sama ia diharap dapat memupuk kesedaran mencintai alam sekitar.

Pelajar-pelajar dikehendaki memanipulasi barangan yang telah dan boleh dikitar semula menjadi karya seni paling kreatif dalam usaha menterjemahkan Nando's sebagai satu jenama unggul.

Selain itu, pelajar-pelajar juga digalakkan untuk mengunjungi restoran untuk lebih memahami dan mendalami jenama tersebut sebelum menghasilkan karya kreatif mereka.

Hasil seni yang menjuarai pertandingan ini akan dipamerkan di NN Gallery untuk tempoh dua minggu sebagai jualan berpotensi.

Pengarah NN Galerry, Syed Nabil Syed Nahar mengakui, sangat berbangga kerana peluang untuk bekerjasama buat kali kedua dalam satu lagi acara menarik sebegini.

"Saya percaya pertandingan ini akan membuka peluang kepada artis - artis muda dari kolej dan universiti tempatan untuk mengembangkan bakat mereka dalam dunia seni tanah air selain memainkan peranan mereka yang tersendiri untuk melindungi dan memelihara alam sekitar," katanya.

Semua hasil seni peserta akan dihakimi oleh panel juri yang dilantik khas seperti:

- Angela Hijjas - seorang aktivis alam sekitar yang sangat aktif bergiat dalam bidang seni untuk mempromosikan pertukaran budaya di teratak Rimbun Dahan miliknya;

- Noor Mahnun - kurator di Rimbun Dahan;

- Fazli Othman - Pemenang Anugerah Juri Pertandingan Seni Kontemporari Muda 2007 yang juga seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka;

- Samsudin Wahab - seorang artis tetap di Rimbun Dahan dan

- Chung Lynn.

Keputusan keseluruhan akan dinilai berdasarkan interpretasi tema, kreativiti, isi kandungan, komposisi dan judul karya seni peserta. Pertandingan yang berlangsung selama tiga bulan ini akan berakhir pada 18 Julai 2009 dan pemenang pertandingan akan menerima hadiah berikut termasuk wang tunai berjumlah RM3000 serta baucer Nando's.



Alam sekitar
.
Alam sekitar merupakan segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya. Alam sekitar meliputi beberapa komponen utama:

1.Unit landskap yang berfungsi sebagai sistem semula jadi tanpa penglibatan manusia, termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan, batu-bata, dan sebagainya, serta fenomena semula jadi yang berlaku
2.Sumber sejagat semula jadi serta fenomena fizikal yang tidak mempunyai batasan tertentu seperti udara, air, dan iklim, serta tenaga, sinaran, cas elektrik, dan kemagnetan, yang tidak wujud hasil daripada aktiviti manusia.

Alam semula jadi merangkumi segala jirim hidup dan jirim bukan hidup yang berada secara semula jadi di bumi. Dalam pengertian yang paling tulen, ia adalah persekitaran yang tanpa kegiatan manusia. Lawannya perkataan "alam semulajadi" ialah "persekitaran terbina".
Bagi sebahagian orang, terdapat kesulitan terhadap istilah "alam semulajadi" kerana kebanyakan persekitaran semula jadi mempunyai pengaruh manusia pada satu masa atau lain, baik secara langsung atau tidak. Bagi mengatasi masalah ini, sedikit sebanyak pengaruh manusia diizin tanpa menyebabkan sesuatu landskap dikecualikan daripada status "semula jadi". Biasanyan, maksud istilah ini tergantung kepada konteksnya lebih daripada definisi yang ditentukan. Banyak persekitaran alam semula adalah hasil daripada interaksi di antara alam semula jadi dan manusia. Oleh sebab alasan ini, istilah "ekosistem" telah digunakan untuk menggambarkan persekitaran yang mengandungi alam semula jadi, termasuknya manusia. Berdasar ini, masalah persekitaran adalah masalah manusia atau sosial. Ada sebilangan orang menganggap bahawa pengasingan "persekitaran" daripada "manusia" amat berbahaya. Ini merupakan pemahaman umum yang telah menjadi dasar environmentalisme, yakni pergerakan politik, sosial dan falsafah yang luas dan yang menyokong pelbagai tindakan dan dasar untuk melindungi apa-apa alam semula jadi yang tinggal, atau mengembalikan serta mengembangkan peranan alam semula jadi di persekitaran ini. Sungguhpun tanah gersang semakin jarang, alam liar (umpamanya, hutan yang tidak dikendali, padang rumput yang tidak dikerjakan, binatang liar dan bunga liar) dapat ditemui di banyak tempat yang dahulu dihuni manusia.
Matlamat yang biasanya dinyatakan oleh ahli kaji persekitaran termasuk:
• pengurangan dan pembersihan pencemaran buatan manusia dengan matlamat pencemaran sifar pada masa hadapan;
• pengurangan penggunaan bahan api yang tidak boleh baharu dan pembangunan alternatif yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan, bahan yang berkarbon rendah atau sumber tenaga yang boleh baharu;
• pemuliharaan dan penggunaan sumber berkurangan yang boleh kekal, seperti air, tanah dan udara;
• perlindungan ekosistem wakilan, unik ataupun asli;
• pemeliharaan dan pengembangan spesies terancam atau ekosistem dari kepupusan;
• penubuhan rizab alam semula jadi dan biosfera di bawah pelbagai jenis perlindungan; dan
• pada paling umumnya, perlindungan biodiversiti dan ekosistem yang diperlu oleh semua manusia dan hidupan yang lain di bumi ini.
Baru-baru ini, terdapat rasa bimbang yang sungguh mendalam tentang pertukaran iklim yang disebabkan oleh pelepasan antroprogenik gas rumah tanaman, terutamanya karbon dioksida, dan interaksinya dengan penggunaan manusia dan alam semula jadi. Usaha-usaha telah ditumpukan terhadap pengurangan gas rumah tanaman yang menyebabkan pertukaran iklim (iaitu, melalui "Konvensyen Pertukaran Iklim" dan "Protokol Kyoto") dan penciptaan strategi penyesuaian bagi membantu spesies, ekosistem, manusia, negara dan wilayah untuk menyesuaikan diri dengan pertukaran-pertukaran iklim.

GREENDREAM

mari bersama-sama selamatkan Bumi kita!