Pelaksanaan Kempen Bumi Hijau (Amalan Bercucuk Tanam) telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 19 Oktober 2005 dan dirasmikan di peringkat Kebangsaan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada 3 Mac 2006. Matlamat utama program ini ialah untuk menggalakkan rakyat bercucuk tanam bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan.
Kempen ini akan dapat mewujudkan kesedaran dan minat rakyat terhadap pertanian terutama dikalangan penduduk-penduduk taman perumahan di bandar. Kempen ini juga diharap dapat mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan disamping persekitaran perumahan yang cantik dan menarik.
KONSEP PELAKSANAAN
Kempen Bumi Hijau terdiri daripada 3 komponen iaitu Tanaman, Ternakan dan Akuakultur. Di Putrajaya, pelaksanaan konsep komponen Tanaman dan Akuakultur diterapkan.
Pokok kadok dan kunyit merupakan contoh tanaman yang boleh ditanam di dalam pasu Kempen ini menggalakkan amalan bercucuk tanam tanaman makanan berkonsepkan laman dapur atau ‘edible landscape’, secara menanam tanaman bersesuaian dengan ruang sedia ada dan memenuhi keperluan keluarga. Ia menekankan konsep pengeluaran makanan untuk kegunaan sendiri sahaja.
Kempen ini ditujukan kepada semua rakyat dengan sasaran utama adalah penduduk taman perumahan, penghuni rumah pangsa dan murid-murid sekolah.
Anak-anak pokok pula ditanam di dalam bekas mudah alih seperti pasu, polibeg dan seumpamanya atau di atas tanah. Jenis tanaman yang dipilih terdiri daripada sayur-sayuran, daun dan buah, herba dan ulam-ulaman yang boleh dituai secara berterusan.
Bagi komponen akuakultur, pemeliharaan dalam takungan seperti kanvas adalah disarankan.
Pemeliharaan ikan di dalam kanvas
Sumber: Jabatan Perikanan Malaysia
Manakala kaedah ternakan yang sesuai adalah ternakan ayam kampung dan burung puyuh secara pemeliharaan tertutup dalam kurungan.
PELAKSANAAN KEMPEN PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN
Kementerian Pertanian dan Asas Tani bercadang untuk melancarkan program Kempen Bumi Hijau Peringkat Wilayah Persekutuan dengan mengadakan satu majis perasmian secara anjuran bersama antara Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Jabatan Pertanian Putrajaya akan mewakili MOA dan Perbadanan mewakili KWP sebagai pelaksana program Kempen Bumi Hijau Peringkat Wilayah Persekutuan.
Perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, dalam tempoh terdekat. Selaras dengan perasmian ini, pihak Perbadanan Putrajaya turut mengadakan pameran semasa majlis berlangsung dan juga pameran susulan di Karnival dan Promosi Kempen Bumi Hijau Peringkat Wilayah Persekutuan di Alamanda Putrajaya selama 2 hari berturut-turut.
AKTIVITI YANG AKAN DILAKSANAKAN
Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Kempen Bumi Hijau di Putrajaya, aktiviti-aktiviti berikut diadakan:
i. Perasmian Pelancaran Kempen Bumi Hijau Peringkat Putrajaya
ii. Pelancaran Laman Komuniti Putrajaya
iii. Promosi dan Publisiti yang berterusan
iv. Pameran
v. Pertandingan Laman Dapur
vi. Latihan dan demonstrasi
vii. Penyediaan bekalan input
viii. Sokongan teknikal
PENDEKATAN
Putrajaya menggunakan pendekatan bercucuk tanam dan pemeliharaan akuakultur sebagai menyambut seruan Kempen Bumi Hijau. Penanaman dan pemeliharaan akuakultur akan dilaksanakan secara individu, keluarga atau komuniti.
i. Penanaman Secara Individu / Keluarga :
- Melibatkan seorang / satu keluarga.
- Dilaksanakan di dalam kawasan rumah dengan spesies tanaman yang sesuai dengan saiz ruang dan keperluan keluarga.
- Jenis rumah untuk kaedah ini:
-- rumah berkembar
-- rumah teres
-- pangsapuri.
Contoh jenis tanaman yang boleh ditanam secara komuniti. ii. Penanaman Secara Komuniti
- Melibatkan komuniti setempat.
- Dilaksanakan di kawasan perumahan yang mempunyai tanah lapang yang berhampiran.
- Kaedah ini membolehkan pelbagai jenis tanaman ditanam dengan mengambil kira kuantiti yang mencukupi untuk keperluan setiap keluarga dalam komuniti.
- Kelulusan secara rasmi penggunaan tanah ini diperlukan terlebih dahulu.
iii. Pemeliharaan Akuakultur
- Ternakan ikan keli di dalam kanvas digalakkan.
- Secara individu/keluarga atau melibatkan komuniti setempat.
- Dilaksanakan di dalam kawasan rumah atau bagi kawasan perumahan yang mempunyai tanah lapang yang berhampiran.
- Komponen peralatan ternakan ialah tangki kanvas lengkap dengan bingkai, benih ikan dan makanan ikan yang diketengahkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Pemeliharaan ikan keli di dalam kanvas
Sumber: Jabatan Perikanan Malaysia
PROGRAM LAMAN KOMUNITI
- Program Laman Komuniti Putrajaya sebagai program susulan sempena Kempen Bumi Hijau akan diadakan oleh Perbadanan Putrajaya.
- Program Laman Komuniti Putrajaya adalah selaras dengan konsep pembangunan Putrajaya sebagai Bandar Raya Dalam Taman.
- Aktiviti ini juga mampu mengeratkan interaksi antara penduduk dan ia merupakan satu langkah untuk mengwujudkan masyarakat Putrajaya yang bersedia dipertanggungjawabkan menjaga persekitaran kediaman komuniti masing-masing.
Program Laman Komuniti ini dicadangkan untuk dijalankan secara berfasa:
- Untuk peringkat permulaan, modul Laman Dapur akan diperkenalkan dengan beberapa contoh reka bentuk bagi rumah jenis teres dan pangsapuri yang terdapat di presint-presint kediaman. Reka bentuk Laman Dapur ini akan memperlihatkan satu reka bentuk laman yang harmoni dan bersepadu antara tumbuhan boleh dimakan dan tanaman hiasan.
- Untuk fasa seterusnya, laman komuniti bagi kategori rumah jenis banglo, semi-D serta kawasan hijau termasuk rizab landskap dan taman-taman akan dibuat secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan.
No comments:
Post a Comment