BETTER MAN

Tuesday, August 10, 2010

TEKNIK PELUPUSAN SAMPAH


PERANGKAAN menunjukkan seorang individu negara ini menghasilkan purata 800
gram sisa pepejal sehari atau sejumlah 16,000 tan sisa pepejal di seluruh
negara setiap hari. Dengan tapak pelupusan yang semakin nazak dan
ketiadaan kawasan untuk dijadikan tapak pelupusan sampah yang baru,
timbunan sampah-sarap ini adalah suatu masalah besar yang perlu diberi
perhatian. Kegagalan menangani masalah ini mungkin akan menyaksikan
penduduk negara ini menghuni di timbunan sampah.
Wartawan Berita Harian, JAMI'AH SHUKRI mendekati kaedah dan sistem
terbaik untuk menangani isu pelupusan sampah secara lebih berkesan dan
mesra alam.
ISU pelupusan sampah di ibu kota menjadi masalah utama dan tidak
berkesudahan. Di Kuala Lumpur saja, tidak kurang 300 kenderaan sampah atau
kira-kira 2,500 tan sampah dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Taman
Beringin, Jinjang, sehari untuk dilupuskan.
Tapak pelupusan ini adalah satu-satunya tapak pelupusan sampah yang
masih wujud di ibu kota dan ia juga sudah nyawa-nyawa ikan. Ia sepatutnya
ditutup sejak 1998, namun sehingga hari ini, tapak pelupusan itu masih
beroperasi dan terus menyeksa penduduk sekitar.
Selain pelupusan menerusi timbunan tanah (di tapak pelupusan sampah),
sisa pepejal juga dilupuskan menerusi kaedah pembakaran terkawal,
menggunakan insinerator teknologi gasifikasi atau peleburan abu. Malah,
sampah juga dibakar secara haram, secara terbuka dan tidak terkawal.
Di Malaysia, insinerator teknologi gasifikasi dan peleburan abu berharga
RM1.5 bilion dirancang dibina di tapak seluas 265 hektar di Broga,
Semenyih. Kemudahan ini berupaya melupuskan kira-kira 1,500 tan sampah
sehari - sebahagian besar daripada sampah-sarap yang dihasilkan di Lembah
Klang.
Malangnya, cadangan ini belum dapat dilaksanakan berikutan tentangan
daripada penduduk. Kerana bantahan penduduk juga, projek yang pada awalnya
dijadualkan dibina di Kampung Bohol, Puchong beralih ke Broga. Penduduk
Broga juga menolak projek ini kerana bimbangkan keselamatan dan kesihatan
mereka kerana insinerator dikatakan akan membebaskan dioksin, bahan
pencemar yang berbahaya.
Menyedari masalah ini, sebuah syarikat Bumiputera, DRT Technologies Sdn
Bhd memperkenalkan teknologi pelupusan sampah dari China, yang tidak
mencemarkan alam sekitar iaitu teknologi pirolisis.
Teknologi ini adalah teknik melupus atau membakar sampah tanpa oksigen
pada suhu tinggi antara 800 hingga 1,000 darjah Celsius. Teknik ini akan
menghasilkan sedimen (sisa buangan) yang boleh digunakan sebagai baja dan
gas pembakaran bagi kegunaan rumah serta menjana kuasa elektrik.
Teknologi ini dijangka memberi satu lagi pilihan kepada kerajaan dan
pihak yang berminat untuk menggunakan kaedah itu. Teknik dan peralatan
teknologi itu yang ditemui dan dimiliki Tianjin Longde Co Ltd mendapat
pengiktirafan dan penganugerahan Kerajaan China.
Majlis Penggunaan Semula Sampah Pejal Persatuan Pelindung Alam Sekitar
China, menegaskan teknik pirolisis bukan saja mampu membantu mengatasi
masalah peningkatan bahan buangan setiap hari, malah apa yang lebih
penting, ia tidak mendatangkan kesan sampingan kepada alam sekitar.
China menggunakan teknologi itu selepas mendapati jumlah penduduknya
meningkat dengan ketara dari setahun ke setahun. Peningkatan penduduk dan
pelbagai kegiatan harian serta ekonomi mereka memberi kesan secara
langsung pada udara, air dan kawasan ternakan.
Jumlah sampah di negara ini juga kini melebihi satu juta tan setiap
tahun dan ia meningkat lapan peratus setiap tahun.
Pirolisis adalah proses untuk memanas dan menyuling sebatian organik
dalam sampah dengan penggunaan oksigen yang sedikit atau tiada oksigen
langsung dan mendapatkan minyak bahan api serta gas yang tidak terbakar.
Sebatian organik itu kemudian dihancurkan dengan menggunakan suhu tinggi
dan membentuk kepada beberapa gas yang baru, cecair dan pepejal atau
bongkah.
Ketika proses berkenaan berjalan, banyak reaksi kimia berlaku. Suhu
tinggi awal bagi proses penghancuran adalah berbeza dengan komponen
organisma yang lain. Komponen produk juga berbeza berdasarkan reaksi kimia
yang berlainan mengikut suhu yang digunakan.
Berbanding kaedah pembakaran lain, teknologi pirolisis dikatakan satu
teknologi bersih kerana produk akhirnya adalah karbon dioksida dan air,
bukan gas toksik yang mencemarkan alam sekitar seperti yang dihasilkan
loji atau teknologi pelupusan lain.
Kaedah lain menghasilkan sebatian yang mudah terbakar seperti hidrogen,
metana, karbon monoksida dan beberapa jenis cecair (termasuk tar, minyak
larut) serta sebatian organik seperti metana, aseton, asid asetat dan
asetaldehida. Di samping itu, produk pepejal seperti arang kok dan karbon
kosong.
Kadar pelepasan dioksin yang dibebaskan teknologi pirolisis juga amat
rendah, jauh rendah daripada paras yang dibenarkan mengikut piawaian
antarabangsa.
Teknologi ini mampu melupuskan semua jenis sisa, termasuk sisa perubatan
atau klinikal, sampah perbandaran dan sisa berbahaya (tidak termasuk
pelupusan bahan radioaktif berbahaya).
Sehubungan itu, teknologi pi-rolisis berpotensi digunakan oleh pihak
berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan kerja melupuskan sampah pejal di
kawasan pentadbiran mereka dan kilang kelapa sawit - untuk melupuskan
minyak sawit biojisim seperti tandan sawit kosong (EFB), yang dihasilkan
dalam proses industri kepala sawit.
Selain itu, hutan dan taman pertanian - untuk melupuskan sisa sampah
biojisim yang dihasilkan ketika proses hutan dan tanaman pertanian
diusahakan; hospital - untuk melupuskan sisa klinikal; kilang penapis dan
petroleum - untuk melupuskan kumbahan yang tercemar serta industri.
Di samping itu, teknologi ini juga sesuai dibangunkan di kawasan
perumahan, kompleks dan bangunan besar bagi pelupusan sisa domestik dan
sisa pepejal yang dihasilkan.
Bagi loji atau mesin berkapasiti 10 tan sehari, hanya lapan hingga 12
jam diperlukan untuk melupuskan 10 tan sampah organik dan sampah bukan
organik, 12 jam.
Bagi sampah organik, suhu optimum ialah antara 300 dan 1,000 darjah
Celsius. Kebiasaannya, suhu adalah dalam lingkungan 800 darjah celsius.
Setiap kali membakar relau, tempoh prapemanasan adalah daripada 30 hingga
40 minit dan suhunya akan meningkat sehingga 500 darjah Celsius.
Teknologi pirolisis yang boleh mencapai antara 800 hingga 1,100 darjah
Celsius itu dijamin mampu membunuh semua jenis mikro organisma dan kuman.
Satu lagi cirinya yang paling istimewa ialah teknologi ini mampu
menghasilkan 300 hingga 350 meter padu (m3) gas bagi setiap satu tan
sampah.

No comments:

Post a Comment