Tingkatkan usaha kesedaran alam sekitar-Lidah Pengarang
KESEDARAN mengenai kepentingan alam sekitar masa ini adalah luas dan mendalam berbanding dengan 10 tahun lalu. Kemajuan besar dalam hal ini mendatangkan banyak perubahan dalam pelbagai kegiatan manusia yang memberi sumbangan kepada kebaikan alam sekitar.
Namun begitu, isu-isu alam sekitar mempunyai pelbagai bentuk dan banyak perkara baru muncul sementara yang lama masih belum dapat ditangani.
Dalam kedudukan alam sekitar sedemikian rupa, tidak ada jaminan bahawa bumi akan terselamat daripada bencana terutama yang diakibatkan oleh perbuatan manusia.
Justeru, Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut hari ini merupakan peluang bagi semua pihak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu-isu alam sekitar.
Ini kerana soal alam sekitar tidak boleh ditangani secara sendirian oleh mana-mana bahagian masyarakat, sebaliknya ia memerlukan kerjasama yang terselaras oleh semua pihak dalam menanganinya.
Malah ia juga tidak dapat dilakukan oleh mana-mana negara tertentu tetapi memerlukan pembabitan semua negara di dunia kerana kita semua berkongsi satu kediaman iaitu planet bumi.
Dalam sesebuah negara pula, ia memerlukan kesedaran bukan saja oleh aktivis alam sekitar tetapi juga kerajaan dan rakyat keseluruhannya.
Tanpa kesedaran tentang kepentingan alam sekitar, sudah tentu ada bahagian dalam masyarakat yang memandang sambil lewa terhadap masalah-masalah alam sekitar.
Lebih buruk lagi adalah wujudnya golongan yang berpengetahuan tentang alam sekitar tetapi tidak sedar terhadap kepentingannya. Sebaliknya mereka lebih mengutamakan kepentingan peribadi, terutamanya dalam bentuk keuntungan perniagaan.
Tanpa kesedaran alam sekitar, maka akan wujud usaha menghalang sebarang perjuangan memperbaiki atau menangani alam sekitar, lebih-lebih lagi apabila keutungan mereka terjejas.
Memang akan berlaku perbezaan fahaman terhadap sesuatu isu alam sekitar. perkara ini lumrah berlaku lebih-lebih lagi tidak ada sesiapa yang tahu keseluruhan mengenai alam sekitar. Pengetahuan yang kita ada tentang alam sekitar berpunca daripada data saintifik yang tafsirannya sudah tentu berbeza di antara satu sama lain.
Namun begitu, perbezaan tafsiran tentang data saintifik mengenai alam sekitar tidak harus menjadi penghalang kepada sebarang usaha menyelesaikan masalah-masalah alam sekitar.
Sememangnya kita menolak sebarang bentuk kegiatan pelampau alam sekitar yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu di Barat, tetapi keprihatinan tulen terhadap masalah yang dihadapi bumi harus dihargai secara ikhlas.
Dalam pada itu kita juga menolak sikap hipokrisi kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang mengutamakan kepentingan perniagaan nasional mereka daripada nasib bumi apabila Washington membatalkan sokongan kepada Protokol Kyoto.
Namun begitu, kita harus menghargai perbezaan pandangan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia tentang cara mana menangani masalah-masalah alam sekitar.
Tetapi apa yang jelas ialah planet bumi hanya sebuah yang perlu kita kongsi bukan saja sesama manusia tetapi juga dengan haiwan dan tumbuhan daripada pelbagai spesies. Jika tidak menyelesaikan masalah alam sekitar dengan sebaiknya, mungkin diri kita masih terselamat tetapi nasib generasi manusia akan datang akan lebih parah dan gagal untuk menyambung keturunan.
PENINGKATAN kesedaran di kalangan masyarakat terhadap usaha memulihara alam sekitar mendorong pembabitan secara langsung badan-badan korporat dalam kempen pemeliharaan dan pemuliharaan.
Terbaru usaha yang dilakukan oleh Nando's Malaysia yang melancarkan mengurangkan penggunaan beg plastik bagi setiap pembelian bawa pulang dan penghantarannya.
Kempen yang bertemakan Clucking with Mother Nature ini telah dilancarkan dalam satu majlis penuh penuh meriah di restoran Nando's One Utama bersesuaian dengan konsep rimba hijau yang terdapat di pusat beli-belah tersebut.
Kempen bertujuan mendidik orang ramai mengenai penggunaan beg kitar semula berbanding beg plastik ketika membeli-belah.
Bagi menjayakan kempen tersebut jenama rangkaian makanan segera terkenal itu turut bekerjasama dengan Pertubuhan Alam Sekitar Malaysia (MNS) dan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi yang diberi tanggungjawab mereka beg kain kitar semula edisi istimewa.
Melalui kempen Clucking with Mother Nature ini, dengan setiap pembelian bernilai RM100 ke atas pelanggan akan menerima beg kain Nando's tersebut secara percuma atau membelinya pada harga RM2.90. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 sen akan didermakan kepada Tabung Memelihara Alam Sekitar MNS.
Selain itu, Nando's turut menyediakan kad keahlian percuma yang diikat bersama beg tersebut yang mana pelanggan boleh menikmati hidangan percuma selepas mengumpul lima kali cop pada kad tersebut.
"Kami menyokong kempen pemeliharaan alam sekitar bukan sekadar melalui penjualan beg kain edisi istimewa Nando's Go Green di setiap restoran kami, di mana setiap pembelian bawa pulang tidak akan dibungkus menggunakan beg plastik.
"Malahan, kami juga akan menggunakan barangan yang bukan diperbuat daripada plastik di semua restoran kami tidak lama lagi," kata Ketua Pengawai Eksekutif Nando's, Mac Chung Lynn.
Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada usaha Nando's dalam memelihara alam sekitar untuk dinikmati generasi akan datang.
Sebagai kesinambungan kempen Clucking With Mother Nature, Nando's turut mengambil kesempatan untuk melancarkan pertandingan melukis Perify Your Art buat kali kedua.
Dengan tema The Art of Recycling the Nando's Way, pertandingan ini bertujuan mencungkil kreativiti pelukis-pelukis dalam menghasilkan karya seni bermotifkan alam sekitar dengan menggunakan bahan-bahan yang boleh dikitar semula.
Projek usaha sama antara Nando's Malaysia dan NN Gallery pada tahun ini bertujuan untuk mempromosi dan mencari bakat-bakat baru yang dicungkil daripada kolej dan universiti tempatan di mana dalam waktu sama ia diharap dapat memupuk kesedaran mencintai alam sekitar.
Pelajar-pelajar dikehendaki memanipulasi barangan yang telah dan boleh dikitar semula menjadi karya seni paling kreatif dalam usaha menterjemahkan Nando's sebagai satu jenama unggul.
Selain itu, pelajar-pelajar juga digalakkan untuk mengunjungi restoran untuk lebih memahami dan mendalami jenama tersebut sebelum menghasilkan karya kreatif mereka.
Hasil seni yang menjuarai pertandingan ini akan dipamerkan di NN Gallery untuk tempoh dua minggu sebagai jualan berpotensi.
Pengarah NN Galerry, Syed Nabil Syed Nahar mengakui, sangat berbangga kerana peluang untuk bekerjasama buat kali kedua dalam satu lagi acara menarik sebegini.
"Saya percaya pertandingan ini akan membuka peluang kepada artis - artis muda dari kolej dan universiti tempatan untuk mengembangkan bakat mereka dalam dunia seni tanah air selain memainkan peranan mereka yang tersendiri untuk melindungi dan memelihara alam sekitar," katanya.
Semua hasil seni peserta akan dihakimi oleh panel juri yang dilantik khas seperti:
- Angela Hijjas - seorang aktivis alam sekitar yang sangat aktif bergiat dalam bidang seni untuk mempromosikan pertukaran budaya di teratak Rimbun Dahan miliknya;
- Noor Mahnun - kurator di Rimbun Dahan;
- Fazli Othman - Pemenang Anugerah Juri Pertandingan Seni Kontemporari Muda 2007 yang juga seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka;
- Samsudin Wahab - seorang artis tetap di Rimbun Dahan dan
- Chung Lynn.
Keputusan keseluruhan akan dinilai berdasarkan interpretasi tema, kreativiti, isi kandungan, komposisi dan judul karya seni peserta. Pertandingan yang berlangsung selama tiga bulan ini akan berakhir pada 18 Julai 2009 dan pemenang pertandingan akan menerima hadiah berikut termasuk wang tunai berjumlah RM3000 serta baucer Nando's.
No comments:
Post a Comment