BETTER MAN

Wednesday, December 1, 2010

DENDA 1 JUTA- PESALAH ALAM SEKITAR!

Denda kesalahan hutan RM1j

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Kadar denda dan hukuman bagi kesalahan hutan terutama pembalakan haram akan ditingkatkan kepada RM1 juta dan penjara antara lima dan 20 tahun apabila Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dipinda kelak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebelum ini pesalah kesalahan hutan didenda tidak melebihi RM500,000 dan penjara antara setahun dan 20 tahun.

“Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) hari ini bersetuju meminda Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) bagi memantapkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perhutanan dalam membanteras pembalakan haram dan kesalahan hutan.

“Jabatan Peguam Negara akan mengkaji jumlah denda minimum sebelum Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2010 dibentangkan di Parlimen.

“Diharap pindaan itu dapat memastikan sektor perhutanan bergerak seiring dengan cabaran dan isu semasa yang mencakupi aspek-aspek pencegahan pembalakan haram, pelaksanaan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-66 MTN di Parlimen di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Majlis Tanah Negara menggabungkan Majlis Perhutanan Negara dan Majlis Mineral Negara bertujuan membincangkan dasar dan perundangan untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah bagi perlombongan, pertanian serta perhutanan dalam usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran tanah negara.

Muhyiddin berkata, Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2010 memberi penekanan kepada aspek memindahkan prinsip beban bukti semasa perbicaraan di mahkamah bagi kes-kes kesalahan hutan daripada pihak pendakwaan kepada pihak yang didapati memiliki hasil balak.

Sementara itu katanya, mesyuarat turut bersetuju dengan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu dari 2011 hingga 2015.

“Amalan CTT bagi penghasilan HSK di bawah rancangan Malaysia merupakan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pengurusan hutan secara lestari,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Perhutanan Negara bersetuju bahawa CTT dalam HSK di bawah RMK-10 ditetapkan seluas 199,165 hektar atau 39,833 hektar setahun bagi Semenanjung Malaysia.

“CTT bagi Sabah ditetapkan seluas 300,000 hektar atau 60,000 hektar setahun dan CTT bagi Sarawak ditetapkan seluas 775,000 hektar atau 155,000 hektar setahun,” katanya.

GREENDREAM : bagus cadangan tu... kuatkuasakan!